Wednesday, November 17, 2010

Maher Zain-Save The Soul

Maher Zain didatangkan jauh dari Sweden untuk menyelamatkan jiwa anak muda di Malaysia melalui muzik yang dibawakannya. Siapa sangka anak muda yang pernah hanyut itu kini menjadi idola anak muda serata dunia melalui muzik ikhlas yang dihasilkannya.
Jiwa memang diserap masuk unsur positif tatkala mendengar Maher menyanyi secara langsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam, Selangor malam semalam. Dia menjayakan persembahan amal Maher Zain Save The Soul Showcase yang dibawakan oleh Raudhatus Sakinah.
Pada masa yang sama, berlangsung sebuah konsep pop menampilkan bintang American Idol, Adam Lambert yang membawakan muzik yang sangat jauh dengan apa yang Maher perjuangkan.
Namun ramai yang membuat pilihan mahir untuk menikmati alunan muzik Maher Zain. Dewan penuh malah pihak penganjur terpaksa mengabaikan banyak permintaan sebab tempat duduk tak memungkinkan.
Tak salah kalau mengatakan penonton malam itu menikmati malam Jumaat yang indah, bak kata pengacara Ahmad Fedtri Yahya yang berpasangan dengan personaliti bertudung litup Wardina Safiyyah. Aishah dan In-Team turut menghiburkan penonton.
Maher tidak menari walaupun mendendangkan lagu serancak Baraka Allahu Lakuma sebaliknya pengukir senyum sepanjang persembahannya. Ia cukup memuaskan kerana apa yang diharapkan ialah penyampaiannya yang meresap ke dalam jiwa.

Ada sebab mengapa lagu-lagunya menyentap perasaan pendengar. Maher menghasilkan muzik dari dalam jiwa... semestinya mudah meresap ke jiwa.
Apa yang ditulisnya berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri serta pemikirannya terhadap apa yang disaksikan dalam hidup.
Apatah lagi Maher sebelum ini bukanlah seorang yang dekat dengan agama kerana dibesarkan di Barat. Namun jiwanya yang sentiasa kosong kerana tidak diisi dengan amalan membuatkan dia mampu meluahkan perasaan dalam setiap lagu yang dihasilkan bila mendapat hidayah
Sederhana yang memikat
Maher tampil sederhana sahaja walaupun pada masa ini dia ramai pemuja. Imejnya masih kekal sebagai seorang pendatang baru. Memang sebagai penyanyi Maher baru dengan memiliki album sulung.
Tapi sejarah kerjaya seninya sudah lama dan bekerjasama dengan banyak nama besar di belakang tabir pembikinan album.
Kesederhanaan yang ada itulah menjadikan Maher istimewa dan dilihat dekat dengan peminat. Bersesuaian dengan lagu-lagunya yang mendamaikan jiwa.
Malam itu Maher mendendangkan lagu-lagu, Always Be There, Ya Nabi Salam Alaika, Hold My Hand, Allah Allah Kiya Karo, The Chosen One, For The Rest of My Life, Open Your Eyes dan berakhir dengan lagu paling diminati, Insya-Allah.
Nampaknya peminat sudah dekat dengan Maher apabila mengikut bait-bait lagu nyanyiannya sepenjang persembahan. Peminat juga sopan duduk dibangku tanpa berbegas ke depan pentas sebagai menghormati persembahannya.
Namun Maher turut turun ke bawah untuk membolehkan peminat melihat dirinya dari dekat. Peminat memuji penampilan Maher yang kacak.
"Kacaknya dia...," terdengar pujian penonton barisan depan yang berbisik deras kepada rakan di sebelahnya. Rakan sebelah mengangguk dan mengiya-iyakan bisikan itu.
Maher bukan sahaja kacak, malah disulami dengan suara yang merdu dan memikat pendengar dengan alunan suaranya itu. Sebab itulah setiap baris lagu mudah sampai ke jiwa pendengar.
Mahu datang lagi
Maher berjanji tidak menjadikan trip ke Malaysia kali ini sebagai penyudah malah berjanji akan datang lagi menjayakan sebuah konsert yang lebih besar pada masa akan datang.
"Inilah trip yang paling menyeronokkan saya sepanjang saya mengadakan tour ke beberapa negara," kata Maher kepada peminat yang datang menonton persembahan sulungnya di Malaysia.
Malam ini Maher akan mengadakan persembahan terakhir sebelum pulang ke negaranya setelah dua minggu di Malaysia. Kehadiran album Maher memang mengujakan peminat. Sebab itulah album sulung berjudul Thank You Allah kini album terlaris dijual di Malaysia.
Maher juga berterima kasih kepada peminat yang menyokong kerjaya seninya. Malah laman facebook miliknya digemari oleh lebih 700,000 peminat dengan lebih separuh daripadanya peminat dari Malaysia.




Monday, November 15, 2010

Latarbelakang Surah Al-Baqarah

Surah Al-Baqarah Diturunkan Di Madinah.

Tiada perselisihan pandangan tentang keseluruhan al-Baqarah diturunkan di Madinah. Lebih lagi al-Baqarah adalah surah pertama yang diturunkan di Madinah, semasa, Allah swt berfirman,

وَاتَّقُواْ يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ
“Dan takutlah kamu pada hari kamu dikembalikan padanya kepada Allah” adalah ayat yang akhir yang diturunkan dari al-Quran.

Juga ayat tentang usury adalah antara ayat yang akhir diturunkan. Khalid bin Ma’dan pernah memanggil al-Baqarah sebagai fustat al-Quran. Ada ulama berkata bahawa ia mengandungi beribu insiden baru, beribu suruhan dan beribu larangan. Mereka yang membilang mengatakan bahawa jumlah bilangan ayat al-Baqarah adalah 287, dan perkataannya 6,221 patah perkataan. Seterusnya, hurufnya adalah 25,500 huruf. Wallahualam.

Ibnu Juraij meriwayatkan bahawa ‘Ata berkata bahawa Ibnu Abbas berkata, ‘Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah’. Juga berkata Khasif dari Mujahid bahawa Abdullah bin Zubair berkata; ‘Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah’. Beberapa imam dan ulama tafsir mengutarakan kenyataan yang sama, dan tiada sebarang perbezaan pandangan tentang ini sebagaimana kami nyatakan terdahulu.

Shahihain merakamkam bahawa Ibnu Mas’ud sebelah kirinya Ka’bah dan sebelah kanannya Mina dan membaling 7 batu kecil (di Jamrah) dan berkata, “Kepada seorang yang surah al-Baqarah diturunkan (Nabi saw) telah melakukan lontaran (ritual Hajji) yang sama.” Shahihain merakamkan hadis ini.

Seterusnya, Ibnu Marduwiah melaporkan satu hadis Shu’bah dari ‘Aqil bin Talhah dari ‘Utbah bin Marthad; “Nabi saw menyaksikan para sahabatnya tidak berada di barisan (saf) pertama dan beliau bersabda,
يَا أَصْحَابَ سُورَةِ الْبَقَرَة
“Wahai sahabat surah al-Baqarah”.

Saya rasa peristiwa ini berlaku semasa perang Hunain apabila sahabat berundur. Kemudian, Nabi saw mengarahkan Ibnu Abbas (pakciknya) memanggil dengan kuat,

يَا أَصْحَابَ الشَّجَرَة
“Wahai sahabat kepada pohon” bermaksud para sahabat yang terlibat dalam perjanjian ar-Ridwan (di bawah pohon).

Dalam riwayat lain, Ibnu Abbas merayu, “Wahai sahabat surah al-Baqarah!” menggesa mereka kembali, jadi mereka kembali dari setiap arah.

Juga, semasa Perang al-Yamamah, menentang tentera Musailamah al-Kazab, para sahabat mulanya berundur kerana jumlah askar yang besar dalam pasukan tentera Musilamah al-Kazab. Orang Muhajirun dan Ansar berseru antara satu sama lain, mengatakan; “Wahai orang surah al-Baqarah!” Kemudian Allah swt telah memberi kemenangan mereka ke atas musuh, semoga Allah merahmati dengan semua para sahabat Rasulullah saw.

Cuba fikirkan adakah ini kebetulan atau dirancang?

Masih ingat peristiwa 11 September, di Amerika Syarikat?

Pesawat melanggar bangunan di New York.

Ini terdapat sedikit info untuk kita berfikir.

Ikut arahan di bawah:

1.  Buka Microsoft Word.

2. Taipkan dalam huruf besar, Q33 NY...
    Q33 NY ni adalah nombor pesawat yang melanggar WTC 11 September tu...

3. Tukar saiz font tu kepada saiz 48 atau lebih besar lagi.

4. Highlightkan Q33 NY,  kemudian tukar kepada font WINGDINGS.
    Apa yang nampak?

   Allahuakbar!!!
 
   Sesungguhnya benda ni dah lama wujud tanpa sesiapa yang menjangkakannya.
   Kelihatan gambar sebuah Kapal Terbang melanggar WTC (menara berkembar tu)
   kemudian ada lambang tengkorak dan lambang Yahudi ...

   SUBHANALLAH....

Aduhai dunia! Islam bukan agama pengganas

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

HAMPIR setiap minggu saya menerima kunjungan dari berbagai-bagai pihak yang ‘berjenama’ hebat dari serata pelosok dan sebahagian mereka itu bukan muslim. Sebahagian mereka pembaca setia tulisan saya. Mereka bertanya pendapat saya dalam berbagai-bagai isu. Antara yang menjadi fokus mereka yang bukan muslim adalah isu keganasan atau terrorisme.

Hasil didikan media antarabangsa, mereka seakan melihat ada kaitan rapat antara Islam dan keganasan. Mereka bertanya mengapakah Islam memperuntukkan bab yang dinamakan jihad yang akhirnya menimbulkan suasana keganasan di dunia ini?


Saya bertanya kepada mereka; sejak bila anda rasa isu keganasan ini dikaitkan dengan Islam? Mereka menjawab; sejak beberapa tahun yang akhir ini, khusus setelah peristiwa 11 September. Saya bertanya mereka; Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan sejak 1,400 yang lepas dan ajaran baginda tersebar hampir ke seluruh alam serta pernah membina tamadun yang amat agung. Mengapakah hari ini baru anda mendengar tentang keganasan dan Islam?

Kemudian, apa takrif keganasan pada sisi anda sehingga media menyatakan rakyat Palestin pengganas, sedangkan Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak mereka saban hari tidak dilabel pengganas?

Atas kaedah apakah anda menyatakan rakyat Iraq yang membunuh tentera Amerika itu pengganas, sedangkan Amerika yang mengebom dan menceroboh negara mereka, merogol dan membunuh kaum keluarga mereka tidak disenaraikan dalam kandang pengganas?

Atas pentakrifan apakah tindakan menawan tebusan yang dilakukan oleh beberapa gerombolan orang Islam dianggap jenayah tidak berperikemanusiaan, sementara tindakan Amerika menahan begitu ramai orang Islam tanpa bukti tidak diuar-uarkan sebagai keganasan kejam?

Jika dihitung jumlah orang Barat yang terkorban disebabkan keganasan puak yang menamakan diri sebagai muslim dibandingkan jumlah umat Islam yang dibunuh oleh senjata-senjata canggih Amerika dan sekutunya; manakah yang lebih ramai?

Atas dasar apakah anda memberi imej Islam pengganas kerana tindakan beberapa kumpulan yang dikaitkan dengan Islam, tetapi anda tidak melihat imej agama Kristian atau Yahudi sebagai pengganas sedangkan tindakan mereka dilakukan oleh penganut agama-agama tersebut yang bersifat kerajaan dan pemerintahan yang diiktiraf oleh mereka?

Akhirnya saya katakan; sebenarnya, tiada siapa pun yang bersetuju dengan keganasan, cumanya media Barat dalam banyak hal bersikap berat sebelah menakrifkan keganasan dan siapakah pengganas?

Sejak dahulu Islam menyebarkan keadilan dan kesaksamaan di kalangan manusia. Lihat sahaja, begitu ramai golongan minoriti bukan Islam dapat hidup di tengah- tengah masyarakat Islam di serata dunia. Lihat di negara kita, Mesir, Jordan, Indonesia dan negara-negara lain. Walaupun barangkali ada beberapa kekurangan tertentu, namun mereka tidak diseksa atau ditumpahkan darah secara kejam.

Namun keadaan sebaliknya tidak berlaku terhadap minoriti umat Islam di kebanyakan negara. Lihat nasib umat Islam di Bosnia, Burma, Rusia dan beberapa negara lain. Bahkan dalam masyarakat Melayu, orang bukan Islam boleh berniaga dan maju di tengah-tengah kampung Melayu Muslim, namun sukar ditemui keadaan sebaliknya.

Mesej saya adalah keganasan atau menumpahkan darah manusia berlainan agama bukan tabiat orang Islam, sudah pasti ia bukan ajaran Islam. Bagaimana mungkin ajaran Islam hendak dikaitkan dengan keganasan, sedangkan jika dilihat peraturan peperangan dalam Islam itu begitu ketat.

Sebelum Perjanjian Geneva wujud lagi, Islam 1,400 tahun yang lalu telah pun meletakkan pelbagai disiplin dan peraturan dalam peperangan. Jika Perjanjian Geneva tidak wujud pun, umat Islam tetap wajib mematuhi peraturan-peraturan perang. Bukan sekadar menjaga nama baik kerajaan, bahkan itu adalah arahan agama.

Peperangan bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk memelihara kebenaran dan keadilan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) dan perangilah di jalan allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.

Dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim, baginda Nabi menyebut: Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak).

Untuk itu Islam menetapkan, pembunuhan hanya di medan perang. Hanya perangi mereka yang terlibat dengan peperangan. Musuh yang tidak menyertai peperangan, tidak diperangi atau dibunuh.

Supaya penekanan disiplin itu lebih dipatuhi, para sarjana Islam menyebut secara lebih terperinci sebagai fokus agar golongan-golongan berikut tidak ditumpah darah mereka:

Pertama: Wanita yang tidak berperang dan kanak-kanak. Dalam hadis daripada Ibn Umar, katanya: “Sesungguhnya seorang wanita didapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kedua: Orang tua dan orang uzur. Mereka tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan. Ini dapat dikiaskan dengan wanita yang tidak membantu peperangan.

Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah- rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn ‘Abbas, katanya: Apabila Rasulullah mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadis ini hasan.”)

Kata al-Syaukani (wafat 1250H): “Pada hadis ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan bukan muslim yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin.” (:Al-Syaukani, Nail al-Autar, jld 8, m.s. 74, Beirut: Dar al-Jil)

Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadis Hanzalah al-Katib, katanya: Kami berperang bersama dengan Rasulullah, lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki sambil bersabda: Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan ‘asif (pengambil upah). (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Al-Albani menilainya sebagai sahih (lihat: Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld 2, m.s. 314, Riyadh: Maktabah al-Ma‘arf li al-Nasyr).

Pengambil upah ini ialah yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak terlibat di medan perang, maka mereka tidak dibunuh.

Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Kata ‘Abdullah bin Mas‘ud: “Telah menjadi suatu sunah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al- Bazzar, Abu Ya‘la. Sanad-sanad mereka adalah hasan ( al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid, jld 5, m.s. 314, Beirut: Dar al-Rayyan)

Setelah anda melihat ketatnya peraturan seperti ini, adakah mungkin anda menuduh Islam menggalakkan pengeboman di tempat awam? Jika tindakan itu dibuat di atas nama Islam, itu adalah pengkhianatan terhadap Islam. Setelah Islam mengharamkan tindakan ini, apakah wajar media Barat mengaitkannya dengan Islam, sedangkan pada masa sama mereka tidak mengaitkan tindakan zalim Amerika dengan Kristian, India dengan Hindu atau Israel dengan Yahudi? Walaupun teks pengharaman seperti Islam tidak jelas dalam agama lain.

Setelah faham hakikat Islam yang menentang keganasan melulu ini, Barat patut bertanya; jika benar ada orang Islam yang melakukannya, bererti mereka sudah tidak mampu mengawal diri dengan disiplin Islam, mengapa hal ini berlaku? Saya katakan sekali lagi, Islam tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan awam.
Apa yang berlaku ialah tindakan luar kawalan. Ini berlaku apabila emosi menguasai akal dan kefahaman salah menguasai tindakan. Tanpa boleh dinafikan, emosi yang berlebihan dan meluap-luap tanpa kawalan ini datang disebabkan sikap buruk dan ganas yang ditunjukkan oleh sesetengah kuasa Barat terhadap dunia Islam terutamanya di Iraq dan Palestin sekarang.

Kerana, seseorang yang biasanya berkelakuan baik, tiba-tiba menjadi ganas, kita patut bertanya sebabnya. Islam tidak seperti filem-filem Barat yang menghalalkan keganasan hero atas nama membalas dendam, namun jika dunia inginkan penyelesaian penyakit, kita mesti mengubati puncanya.
Kemudian mereka bertanya saya: kenapa perlu ada bab jihad dalam Islam? Ini boleh menyebabkan berlaku ketegangan antara agama. Saya katakan; jika anda melihat Islam sebagai agama yang hanya menguruskan masjid, maka tentulah persoalan jihad amat ganjil untuk dibincangkan. Namun Islam adalah agama yang lengkap menyentuh semua sistem kehidupan.

Mana mungkin sebagai agama yang lengkap dalam berbagai-bagai persoalan; ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sebagainya, tiba-tiba tidak membincangkan soal peperangan. Jika itu berlaku, menunjukkan tidak sempurnanya sistem Islam.

Dalam erti kata, Islam membiarkan keindahan sistem yang dibinanya dicerobohi atau dihancurkan.

Kita wajar tahu bahawa, peperangan wujud sepanjang sejarah manusia. Ini kerana apabila wujudnya kelompok yang suka bersikap ganas dan menindas pihak yang lain, atau gemar mengguna kekerasan sebagai penyelesaian maka peperangan pasti tercetus. Lantas pihak yang tertindas pun terheret ke kancah peperangan yang dipaksa.

Demi untuk mempertahankan diri mereka terpaksa mengharunginya jua, seperti berlaku di Iraq dan Palestin. Justeru, kita melihat setiap negara akan mewujudkan angkatan tenteranya. Itu adalah keperluan asasi. Kalaupun tidak untuk berperang dengan pihak yang lain, ia demi mempertahankan sempadan dan kedaulatannya.

Ini kerana sikap lunak dan berbaik dengan semua pihak tidak mampu menjamin sesebuah negara tidak diserang. Perasaan tamak dan rakus yang wujud pada negara lain akan mengancam sesebuah kerajaan sekalipun benteng diplomasi dibina. Untuk itu, maka setiap negara membuat latihan dan sistem ketenteraannya.

Jelas, bahawa membicarakan persoalan perang dan senjata, tidaklah semestinya menggambarkan sikap ganas atau keganasan. Sebaliknya ia tuntutan bermasyarakat. Bahkan peperangan membela kebenaran disetujui oleh fitrah manusia.

Sebab itu filem-filem peperangan yang menggambarkan kemenangan di pihak yang dianggap benar, disukai oleh masyarakat dunia. Maka Islam adalah agama yang syumul. Datang untuk menyelesaikan persoalan kehidupan manusia di semua peringkat. Adalah mustahil untuk Islam tidak membicarakan tajuk peperangan atau dinamakan – dari segi istilahnya – jihad qitali atau jihad peperangan.

Mengapa pula kerana adanya bab jihad dalam Islam maka agama ini dihukum pengganas, tetapi sistem ketenteraan yang diwujudkan oleh setiap negara terutamanya Barat, tidak dianggap sebagai pengganas? Atau mengapa tidak dihukum pengeluar filem Hollywood sebagai pengganas?

Saya ingin ingatkan, oleh kerana bab jihad ini secara jelas ada dalam al-Quran dan al-sunah, orang Islam tidak boleh menafikannya. Menafikan peperangan jihad bererti menafikan nas-nas Islam. Namun mereka mesti menjelaskan kepada dunia secara betul maksud jihad dalam Islam. Adakah mungkin Islam yang membincangkan persoalan kenegaraan tiba-tiba tidak menyebut bab ketenteraan?

Cuma yang berlaku hari ini, adanya segelintir orang Islam menyalahgunakan bab jihad peperangan ini atau melanggar disiplin yang ditetapkan oleh agama. Islam yang tulen membantah tindakan mereka sama sekali.

Namun, bagi negara-negara orang Islam yang diserang oleh kuasa imperialis, apakah dunia ingin mengatakan kepada umat Islam, awak semua hendaklah diam dan jangan mempertahankan diri kerana itu adalah jihad, dan jihad adalah keganasan? Inikah keadilan sejagat?

Bak kata orang Arab: “Dia pukul aku, dia pula yang menangis. Dia maki aku, dia pula yang mengadu.”

– DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Sejarah Timbulnya Khawarij

Bismillahirrahmanirrahim;

Alhamdulillah ! Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW beserta para pengikutnya dan seluruh para sahabat baginda. Setelah itu;

Pada saat Ali karramallahu wajhah mendapat bai’ah dari penduduk Madinah dan memegang tampuk pimpinan di Madinah, beliau melihat bahawa ada beberapa pejabat pemerintah yang diangkat oleh Khalifah Usman bin ‘Affan ra yang menduduki jabatan tersebut tidak perlu dikekalkan, ini termasuk Mu’awiyah ra yang memegang jawatan sebagai Gabenor Syam sejak dari zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab ra hingga zaman Khalifah Usman bin Affan ra yang terbunuh.



Namun, Muawiyah ra yang selama ini menjawat jawatan Gabenor Syam enggan berbai’ah kerana beliau berpendapat selagi tuntutan perlaksanaan hukum qisas terhadap pembunuh Khalifah Usman ra belum dilunaskan, beliau berkeras tidak akan membai’ah Ali kaw. Khalifah Ali kaw berpendapat, urusan perlaksanaan qisas ke atas Khalifah Usman ra boleh dita’khirkan. Perselisihan ini akhirnya, membawa kepada suasana huru –hara yang mengakibatkan berlakunya pertempuran antara Ali kaw dan Muawiyah ra di medan Siffin pada tahun 37H, perang tersebut terkenal dalam sejarah sebagai Perang Siffin.

Pertempuran di Siffin menyaksikan tentera Muawiyah ra mula mengalami kekalahan akibat kerasnya serangan tentera Ali kaw. Akhirnya, Muawiyah ra minta peperangan dihentikan dengan arahan menjunjung Al-Quran di mata tombak tentera-tenteranya. Ketika ini, Ali kaw merasakan hampir menemui kemenangan di dalam peperangan tersebut tetapi melihat kepada Al-Quran yang dijunjung oleh tentera-tentera lawan, telah mula mengoyah kesatuan tentera-tenteranya yang menyebabkan mereka berbelah bagi dan seterusnya berlaku perpecahan di satu pihak menerima perdamaian dan kembali bertahkim dengan kitab Allah dan di satu pihak lagi ingin meneruskan peperangan dan menyakini bahawa tindakan menjunjung Al-Quran oleh pihak Muawiyah ra hanyalah satu tipu daya semata-mata. Akhirnya, majority dari mereka bersetuju menerima tahkim dengan kitab Allah, lalu di adakan gencatan senjata.

Golongan yang tidak bersetuju dengan tawaran tahkim ini berjumlah 12,000, mereka keluar dari barisan Ali kaw dan menuduh Ali kaw salah, berdosa besar dan kafir serta perlu bertaubat atau dibunuh. Pada saat tentera Muawiyah ra berundur ke Syam dan tentera Ali kaw berundur ke Kufah, mereka ini keluar dari jamaah Ali kaw ke Harura dan membentuk jamaah sendiri, dengan mengangkat Abdullah Ibnu Wahab Ar-Rasyidi sebagai pemimpin mereka.

Golongan inilah dinamakan Khawarij, asal kata kharaja bermaksud keluar, yakni keluar dari jamaah Ali kaw. Kemudian mereka mengaitkan nama khawarij dengan ayat al-Quran sebagai golongan yang baik:

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya denga bermaksud berziarah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya, maka sesungguhnya telah tetap pahalnya disisi Allah. Dan Allah MAha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – An-Nisa:100

Selain itu mereka juga mengelar golongan mereka sebagai golongan Syurah yakni penjual. Mereka adalah sebagai golongan yang menjual dirinya (mengorbankan diri) untuk mendapat keredhaan Allah sebagaimana dinisbatkan dalam Al-Quran:

“Di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” – Al-Baqarah:207

Jadi golongan Khawarij juga disebut kelompok Syurah, walaupun mereka tidak bersetuju dengan tahkim, namun musyawarah dijalankan juga di Daumatul Jandal. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Tahkim. Dalam subjek sejarah Islam yang pernah kita pelajari dahulu, wakil dari pihak Ali kaw iaitu Abu Musa As-Sya'ari, digambarkan sebagai seorang yang lemah dan mudah ditipu sementara wakil dari pihak Muawiyah ra iaitu Amr bin Al-Ash pula digambarkan sebagai seorang yang licik dan bijaksana, ini adalah penyelewengan fakta sejarah yang amat besar. Kisah sebegini sebenarnya diseludup oleh golongan Syiah bertujuan untuk merendah-rendahkan martabat para sahabat Rasulullah saw.

Sebenarnya, tujuan atau motif diadakan majlis tahkim bukan untuk melucutkan jawatan kedua-dua pemimpin tetapi mencari penyelesaian ke atas perselisihan antara Ali kaw dan Muawiyah ra tentang tuntutan-tuntutan qisas ke atas pembunuh Khalifah Usman bin 'Affan. Majlis ini telah mencapai kata sepakat untuk mencari pembunuh Khalifah Usman dan dikenakan qisas ke atas mereka. Namun, golongan khawarij telah merencanakan pembunuhan ke atas kedua-dua khalifah. Golongan ini diperangi oleh Khalifah Ali kaw sehinggalah sebahagian dari mereka ada yang telah insaf dan bertaubat manakala yang lainnya tetap dengan pendirian bahawa “Tiada hukum kecuali hukum Allah” dan wajib memberontak terhadap pemerintahan yang zalim. Perencanaan pembunuhan ke atas Ali kaw dan Muawiyah ra dilaksanakan oleh golongan ini, akhirnya Ali kaw berjaya dibunuh sementara Muawiyah ra terselamat dari perencanaan ini. Allahualam !

Bagaimanapun persoalan politik akhirnya berubah menjadi persoalan akidah kerana persoalan kafir dan tidak kafir bukanlah menjadi persoalan politik lagi tetapi ianya adalah persoalan akidah. Kafir mengkafir dalam kalangan Islam muncul pertama kalinya dimulai oleh kelompok Khawarij.

Demikian serba ringkas sejarah timbulnya golongan Khawarij di dalam sejarah Islam. Pengetahuan tentang sejarah golongan ini amat penting bagi kita sebagai umat Islam mengenali golongan yang telah menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya, dan memberontak terhadap pemerintah Islam sehingga mencetuskan pertelingkahan dan perpecahan dikalangan umat Islam selepas era Rasulullah saw. Golongan ini perlu di awasi kerana mereka juga beramal sebagaimana amalan orang-orang Islam yang lain, malah mereka lebih kuat dalam peribadatan. Sehinggakan Rasulullah saw pernah bersabda tentang hadirnya golongan ini ditengah-tengah masyarakat Islam.

Wallahualam

Sifat Amanah Dalam Al-Qur’an

Antara akhlak yang mulia dan dipandang besar keutamaannya di dalam Al-Quran adalah sifat amanah. Kepentingan sifat amanah amat dititk beratkan dan melaksanakannya adalah sesuatu yang amat berat sehingga Al-Quran menerangkan perihal amanah ini sebagaimana firman-Nya Azza wa Jal:
إِنَّا عَرَضْنَا الأمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإنسان إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً (سورة الأحزاب الآية 72)
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat
kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh."

Lawan bagi sifat amanah adalah khianat. Amanah melibatkan berberapa aspek dalam kehidupan, jika dikhianati akan amanah tersebut maka kehidupan akan pincang.




Amanah dalam penjagaan harta dan menunaikan haknya hendaklah dibuat dengan sempurna tanpa sedikit kekurangan. Al-Quran telah mengariskan tentang urusan tersebut secara jelas dan setegasnya dengan menggunakan bentuk kata suruhan, sebagaimana firman Allah Ta'ala:
وَإِنْ كُنتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تجِدُوا كَاتِباً فَرِهَانٌ مَقْبُوضَةٌ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضاً فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ (سورة البقرة الآية 283)
"Jika kamu dalam perjalanan sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang . Akan tetapi jika sebagian kamu mempercayai sebagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Al-Quran juga mengariskannya dalam bentuk keterangan yang membawa maksud suruhan tentang menunaikan amanah. Firman Allah Ta'ala:
اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعاً بَصِيراً (سورة النساء الآية 58)
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Dan Al-Quran juga menggariskannya dalam bentuk tegahan dari perbuatan khianat.
Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ (سورة الأنفال الآية 27).
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui."
Sesungguhnya Allah Ta'ala memuji orang-orang yang beriman daripada kalangan hambanya, dan mensifati mereka dengan kejayaan, kerana memelihara janji-janji mereka dan tidak sesekali mengkhianatinya atau memungkirinya. Mereka memelihara amanat itu dengan tidak melenyapkannya atau mengabuinya. Dan tatkala mereka menyerahkannya kepada yang hak, mereka serahkan dengan lengkap dan cukup sempurna.
Firman Allah Ta'ala;
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ. الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ. إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ. فَمَنْ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْعَادُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ. أُوْلَئِكَ هُمْ الْوَارِثُونَ. الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ .(سورة المؤمنون الآيات 1 - 11)
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman , orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya . Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perkara yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki,maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya"

Dan berfirman Allah Subhanahu wa ta'ala lagi:
إِنَّ الإنسان خُلِقَ هَلُوعاً. إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعاً. وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعاً. إِلا الْمُصَلِّينَ. الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ دَائِمُونَ. وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ. لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ. وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ. وَالَّذِينَ هُمْ مِنْ عَذَابِ رَبِّهِمْ مُشْفِقُونَ. إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ. وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ. إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ. فَمَنْ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْعَادُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ بِشَهَادَاتِهِمْ قَائِمُونَ. وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ يُحَافِظُونَ. أُوْلَئِكَ فِي جَنَّاتٍ مُكْرَمُونَ " (سورة المعارج الآيات 19 - 35).
"Sesungguhnya manusia diciptakan dalam keadaan keluh kesah lagi kikir. Apabila ditimpa kesusahan menjadi keluh kesah. Apabila ditimpa kesenangan ia menjadi kikir, kecuali orang yang mengerjakan solat. Mereka yang dalam mengerjakan solatnya berkekalan. Dan didalam harta mereka itu ada hak yang mereka tentukan, bagi peminta dan yang terhalang dari meminta. Dan mereka yang membenarkan hari pembalasan. Dan mereka yang takut akan azab dari Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka tiada aman daripada azab Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak-budak yang mereka miliki
, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela .Barangsiapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memberikan kesaksiannya Dan orang-orang yang memelihara shalatnya Mereka itu (kekal) di syurga lagi dimuliakan"

Amanah itu juga adalah dari sifat-sifat para malaikat yang mengerjakan kebaikan, dan dari kalangan mereka adalah Jibril alaihissalam yang menurunkan Al-Quran ke atas Nabi Muhammad shallahualaihiwasallam.
Firman Allah Ta'ala:
وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ. نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأمِينُ. عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنْ الْمُنذِرِينَ. بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ (سورة الشعراء الآيات 192 - 195).
"Dan sesungguhnya Al Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam, dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas"

Amanah juga adalah sifat para nabi dan rasul yang Allah pikulkan tanggungjawab dalam menyampaikan risalah-Nya, dan mereka yang diberi kepercayaan atas perjanjian yang dikembalikan faedahnya kepada kaum mereka yang sangat menginginkan hidayah dan petunjuk dari Allah Ta'ala.
Firman Allah Ta'ala:
وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُوداً قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلا تَتَّقُونَ. قَالَ الْمَلا الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي سَفَاهَةٍ وَ إِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنْ الْكَاذِبِينَ. قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ بِي سَفَاهَةٌ وَلَكِنِّي رَسُولٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ. أُبَلِّغُكُمْ رِسَالاتِ رَبِّي وَأَنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أَمِينٌ (سورة الأعراف الآيات 65- 68)
"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain dari-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?" Pemuka-pemuka yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami benar benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang orang yang berdusta." Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasehat yang terpercaya bagimu."
Allah Ta'ala berfirman menceritakan kisah Raja Mesir ketika berbicara dengan Nabi Yusuf as dengan kata-katanya:
وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ (سورة يوسف الآية 54)
"Dan raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku." Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: "Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami."
Firman Allah Ta'ala lagi:
كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ الْمُرْسَلِينَ. إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ نُوحٌ أَلا تَتَّقُونَ. إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ (سورة الشعراء الآيات 105 - 107)
"Kaum Nuh telah mendustakan para rasul Ketika saudara mereka (Nuh) berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu"
Juga berfirman Allah Ta'ala menceritakan kisah seorang anak perempuan Nabi Syu'aib as ketika mereka menyifati Nabi Musa as:
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنْ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأمِينُ " (سورة القصص الآية26).
"Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya."


Demikian juga sifat amanah itu adalah dari sifat-sifat para hamba Allah Ta'ala yang beriman daripada kalangan jin dan manusia. Berfirman Allah Ta'ala ketika membicarakan tentang salah satu jin ifrit yang memperjalankan bagi Nabi Sulaiman as ketika diminta olehnya membawa mengadap singgahsana Puteri Balqis dari Yaman kepadanya:
قَالَ يَا أَيُّهَا المَلأ أيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَنْ يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ قَالَ عِفْريتٌ مِنْ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ " (سورة النمل الآيتان 38-39)
"Berkata Sulaiman: "Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgasananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri." Berkata 'Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin: "Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya."

Dan Firman Allah Ta'ala:
" وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ " (سورة آل عمران الآية 75).
"Di antara Ahli kitab ada orang yang jika kamu berikan amanah kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu."
Semoga Allah menjadikan dalam diri-diri kami sifat amanah dan merasai kemanisannya, dan memberi kedudukan kepada kami dalam perkumpulan orang-orang yang beramal soleh.
Wallahualam.
-Dinukilkan dari tulisan Makarimal Akhlak fil Quran oleh Syeikh Yahya bin 'Abdullah al-Mu'allimi.

Hari Anugerah

Alhamdulillah !

"Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! La ilaha illa Allah huwa Allahu Akbar ! Allahu Akbar wa lillahil Hamd !"

Ramadhan tidak berlalu pergi meninggalkan kita tanpa apa-apa putusan, jawapan dan tidak berlalu meninggalkan kita dalam kebingungan, terpinga-pinga, dan tercengang.Seumpama sang kekasih pergi meninggalkan kekasihnya tanpa khabar dan berita, tanpa jawapan dan keputusannya. Siksanya jiwa jika diperlakukan begitu ! Tetapi tidak pada bulan Ramadhan ia pergi meninggalkan kita dengan anugerah dan ganjaran yang dijanjikan Tuhan.

Itulah hari kemenangan, yang disambut setelah menyempurnakan tuntutan puasa bulan Ramadhan. Inilah ganjarannya, 'Iedul Fitri sebagai hari kejayaan dibulan Syawal sebaik sahaja selesai Ramadhan. Sunnahnya, 'Iedul Fitri disambut dengan penuh kegembiraan dan menzahirkan kegembiraan itu dengan memuji dan membesarkan Allah Ta'ala.

Bagaimanapun, sebagaimana pernah saya katakan tentang amalan menyambut 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, umat Islam ketika meraikan hari lebaran ini juga terbahagi kepada dua keadaan dimana sebahagian ahli hikmah berkata:

"Tiada seorangpun yang bergembira dengan selain Allah kecuali kerana kelalaiannya terhadap Allah, sebab orang yang lalai selalu bergembira dengan permainan dan hawa nafsunya. Sedangkan orang yang berakal merasa senang dengan Tuhannya."

Orang yang bergembira kerana perginya Ramadhan kerana berakhirnya kongkongan terhadap nafsunya juga turut merayakan 'iedul fitri. Mereka berbondong-bondong pergi memenuhi pelabagai tempat hiburan dan permainan yang bertentangan dengan syariat. Hari raya 'Iedul Fitri dirayakan dan diraikan bersesuaian dengan kehendak nafsunya yang jauh dari sunnah Nabi shallallahu'alaihiwasallam. Mereka lalai dalam ibadat puasanya, mereka juga lalai dalam meraikannya. Mereka melakukan pembaziran harta dengan tujuan untuk menggembirakan tuntutan hawa nafsu mereka. Kembalinya kepada fitrah pada mereka ialah kembali kepada tuntutan nafsu. Semoga Allah Ta'ala memberi hidayahnya dan mengampuni segala dosa-dosa mereka. Semoga Allah Ta'ala jauhkan kita daripada amalan-amalan sedemikian dan juga hawa nafsu yang tidak tertuntun melainkan dituntun oleh syaithan yang direjam. Na'udzubillahimin dzalik !

Satu keadaan lagi dimana, orang yang bergembira atas anugerah Allah Ta'ala selepas perginya Ramadhan kerana berakhirnya bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah Ta'ala kepada mereka yang berjaya mendidik dan menuntun hawa nafsunya kepada fitrah beribadah kepada Allah Ta'ala. Di hari raya 'Iedul fitri, mereka berzikir dengan mengucapkan pujian dan membesarkan Allah Ta'ala pada malamnya atas kemenangan mendidik hawa nafsu. Bersungguh-sungguh menunaikan ibadah samada solat nafilah dan tidak lupa menunaikan zakat fitrah membersihkan harta-harta mereka pada malam sebelum mengerjakan solat 'iedul fitri.

Inilah perbezaan cara meraikannya, inilah hari raya yang dianugerahkan Allah Ta'ala kepada hamba-Nya bagi menggantikan perayaan yang batil dan tidak menepati kehendak Islam. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam ketika tibanya di Madinah, ketika mana kaum Anshar memiliki dua hari raya, mereka bermain-main didalamnya, maka Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam bersabda:

"Allah telah memberi ganti kepada kamu dua hari raya yang jauh lebih baik, iaitu "iedul fitri dan 'iedul adha"- HR. Abu Daud dan An-Nasa'i.

Hari raya ini adalah pelengkap kepada puasa Ramadhan yang merupakan rukun Islam ke 4. Tertunainya rukun Islam ke 4 ini, maka mereka akan mendapatkan ampunan daripada Allah Ta'ala dan terbebas daripada api neraka. Hari raya 'iedul fitri merupakan pembagian hadiah dan hendaklah kita menerima hadiah itu dengan menghargai kepada pemberinya dengan menunaikan segala tuntutan daripada-Nya. Oleh itu bersyukurlah, dan beribadahlah dengan zikir, solat, sedekah, ziarah menziarah sesama kerabat mudahan mendapat rahmat dan ampunan-Nya.

Dikesempatan ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya 'Aidil Fitri '2010, semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.